Kuala Pilah: Remaja lelaki, Shah Ril Adnan, 18, terbunuh akibat digilis kereta selepas dia terjatuh dari motosikalnya di Jalan Batu Kikir-Tengkek di sini, hari ini.

Menurut sumber polis, ketika kejadian 6.50 pagi itu, mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda dari Tengkek menuju tempat kerja di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Katanya, sebuah Toyota Avanza dari arah sama yang dipercayai memotong Perodua Viva bergesel dengan motosikal mangsa.

“Akibatnya, mangsa terjatuh dan digilis Perodua Viva terbabit” katanya.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-myMetro