Melaka: Remaja lelaki maut selepas disengat lebah di tepi jalan Ayer Paabas, Alor Gajah, di sini, petang semalam.

Kejadian jam 5.30 petang itu ketika mangsa, Muhammad Farid Haizad Sufian, 18, berada di kawasan berhampiran bersama rakannya sebelum diserang serangga berkenaan.

Muhammad Farid disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang ketika mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah di sini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz, berkata siasatan awal mendapati bapa mangsa yang menerima panggilan daripada rakan anaknya dimaklumkan Muhammad Farid dibawa ke hospital kerana sesak nafas selepas disengat.

“Pemeriksaan mendapati ada kesan sengatan di tangan kiri manakala semua jarinya kebiruan.

“Tiada tanda perbuatan jenayah ditemui selain kesan sengatan lebah. Bapa mangsa juga ada memaklumkan anaknya itu menghidap asma sejak kecil,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

A Asmadi berkata, hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat alahan kerana serangan lebah berkenaan.

“Jenazah dituntut ahli keluarganya untuk urusan pengebumian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya – berita harian