SUNGAI SIPUT – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut apabila motosikal yang dibonceng bersama seorang lagi rakannya terbabas ke longkang di Jalan Dato See Khonn Lim, di sini, kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Mangsa R Gunaseelan yang tidak bekerja disahkan maut di lokasi kejadian manakala rakannya yang juga penunggang motosikal berkenaan, A Vasuthevan, 17, parah menerima rawatan di Hospital Sungai Siput.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Rozeni Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika motosikal berkenaan dari Muhibbah menghala ke Jalong Tinggi.

“Setibanya di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang rakan mangsa hilang kawalan lalu jatuh di longkang bersebelahan kiri jalan dan menyebabkan rakanya cedera parah, manakala mangsa pula disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kemalangan berkenaan berlaku di jalan lurus dan keadaan cuaca juga baik masa itu,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – sinar