PARIT BUNTAR – Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal ditunggangi melanggar belakang sebuah lori dalam satu kejadian di Kilometer 1 Jalan Terusan, Simpang Lima di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.55 malam itu, mangsa, Shamir Ammar Azmi,18, dari Kampung Tok Jaya, di sini maut ditempat kejadian selepas dia mengalami kecederaan parah di kepala akibat terhantuk pada belakang lori terbabit.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal pihaknya mendapati motosikal mangsa jenis Yamaha LC tiba-tiba hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah lori.

Menurutnya, semasa kejadian mangsa difahamkan menunggang secara sendirian dalam perjalanan dari rumahnya di Titi Serong menghala ke Simpang Lima, di sini.

“Mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan kemudiannya kepala mangsa terhantuk pada bahagian belakang lori yang ketika itu sedang parkir di tepi jalan sebelah kiri menghala Simpang Lima.

“Akibat rempuhan itu, kepala mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya kepada media di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Menurutnya, tangkapan juga dibuat ke atas pemandu lori berusia 53 tahun yang berasal dari Sungai Besar, Selangor untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya – sinar