IPOH, 10 Ogos (Bernama) — Seorang mekanik mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba memberi rasuah RM50 kepada seorang pegawai polis pada April lepas.

Bagaimanapun Hakim S. Indra Nehru menetapkan 11 Sept depan untuk laporan akhlak dan jatuh hukum selain melantik peguam.

Remaja berumur 18 tahun itu didakwa menawarkan rasuah kepada Lans Koperal Mohd Farid Ahmad daripada Polis Diraja Malaysia yang bertugas di Balai Polis Pangkor iaitu wang tunai RM50 supaya tidak mengambil tindakan saman ke atasnya yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Hwa Lian, Pasir Bogak, Pangkor kira-kira 2 petang pada 18 April lepas.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009, jika disabitkan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau mengikut mana-mana yang tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Nurul Wahida Jalaluddin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Remaja itu yang tidak diwakili peguam, meminta mahkamah mengurangkan jaminan memandangkan bapanya sudah meninggal dunia manakala ibunya bekerja di Singapura selain tertuduh hanya bekerja sebagai mekanik di bengkel motosikal.

Indra Nehru kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan remaja itu kelihatan menangis selepas jaminan dikenakan terhadapnya.

— BERNAMA