Baitulmaqdis: Mahkamah tentera Zionis semalam menjatuhkan empat hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang warga Palestin yang didapati bersalah membunuh tiga warga Israel di penempatan haram di Tebing Barat pada Julai lalu, kata Menteri Pertahanannya.

“Beliau membunuh ahli keluarga Solomon di Neve Tzuf dan dikenakan empat hukuman penjara seumur hidup. Hukuman penjara seumur hidup ini tidak padan untuk menghukumnya,” kata Menteri Pertahanan Avigdor Lieberman.

Omar al-Abed berusia 19 tahun ketika pembunuhan itu, beliau didapati bersalah oleh mahkamah di Ofer berhampiran Ramallah di wilayah Tebing Barat yang dijajah Israel kerana membunuh tiga ahli keluarga Solomon di rumah mereka pada 21 Julai 2017.

Abed memasuki sebuah rumah dalam penempatan haram di Neve Tzuf atau Halamish dan membunuh tiga penduduk awam termasuk Yossi Solomon, anak lelakinya, Elad dan anak perempuannya, Haya dengan pisau.

Beliau turut mengakibatkan isteri Yossi, Tova cedera parah sebelum ditembak seorang jiran yang juga tentera tidak bertugas selepas terdengar jeritan mereka.

Abed juga didapati bersalah terhadap tuduhan cubaan membunuh tujuh orang termasuk semua ahli keluarga mereka ketika serangan itu. Bapa, ibu, bapa saudara dan dua adik beradik Abed dihukum penjara antara sebulan hingga lapan bulan pada Ogos lalu kerana tidak menghalang tindakan beliau.

Pada 16 Ogos, tentera Israel bertindak kejam dengan memusnahkan rumah keluarga Abed di kampung Kobar berhampiran Ramallah.

Dalam muat naik di Facebook sebelum serangan, Abed menyuarakan bahawa beliau tidak berpuas hati dengan tindakan Israel terhadap warga Palestin termasuk terhadap kawasan masjid Al-Aqsa di kawasan Baitulmaqdis Timur yang dijajah. – metro