TAIPING: Mayat seorang remaja lelaki dalam keadaan tubuhnya dibalut dengan plastik ditemui di belakang rumah jirannya di Taman Greenview, Kamunting di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata mayat berkenaan ditemui orang awam pada jam 12.18 tengah hari tadi sebelum disahkan oleh ahli keluarga sebagai S Sritharan, 16.

Katanya, polis sebelum ini menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa mengenai kehilangannya pada Jumaat lalu.

Artikel berkaitan – Kelar leher, serkup kepala abang selepas bergaduh

“Polis yang menjalankan siasatan awal kemudian menahan adik perempuan mangsa berusia 14 tahun dan teman lelaki adiknya itu, yang berusia 15 tahun.

“Kedua-dua suspek mengaku membunuh mangsa dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Osman berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-BeritaHarian