MIRI: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun disambar seekor buaya ketika sedang mandi di sungai berdekatan dengan Rumah Panjang Japang, Sungai Tapang Peking Baram, Marudi pada Selasa.

Ketua Polis Marudi DSP Gabriel Risut berkata, mangsa Agnes Luang yang sedang menunggu keputusan SPM sedang mandi bersama ibunya di tebing sungai apabila tiba-tiba disambar seekor buaya pukul 6.30 petang Selasa.

“Balai Polis Marudi menerima panggilan pukul 7.15 malam, pasukan operasi mencari dan menyelamatkan telah bergerak ke lokasi kejadian,” katanya.

Gabriel berkata, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada pasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah Marudi, Balai Polis Long Lama dan Bomba Marudi.

Sebagai rekod, jarak perjalanan dari pekan Marudi ke lokasi kejadian ialah dua jam menggunakan sungai. –

-BERNAMA