KEMAMAN: Pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Kijal, maut akibat lemas ketika mandi di Pantai Penunjuk, Kijal, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Amirul Alif Najmi Amran, 16, disahkan meninggal selepas dibawa dua rakannya ke darat.

Tiga sahabat itu dikatakan mandi di kawasan itu kira-kira jam 6 petang dan ditarik ombak ke tengah laut.

Seorang daripada mereka yang memakai jaket keselamatan berjaya berenang dan menyelamatkan diri ke sebuah kawasan berbatu di situ.

Dia kemudiannya melemparkan tali kepada mangsa dan seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Adib.

Adib yang menyambut tali itu kemudiannya memaut badan Amirul Alif Najmi, yang sudah tidak sedarkan diri dan berenang ke darat.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kijal, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mat Daling Mat Dahan, berkata pihaknya yang menerima panggilan bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba, ketiga-tiga mangsa sudah berada di darat dan mangsa sudah meninggal dunia.

“Jenazah mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut, ” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu – berita harian