PUTRAJAYA: Tempoh tahanan reman anak saudara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali dan seorang pengarah syarikat dilanjutkan selama tiga hari lagi bermula semalam.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Norhayati Muhammad Nasroh selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Gobind Singh Deo yang bertindak sebagai peguam bela kepada anak saudara Azmin ketika ditemui berkata, tempoh tahan tersebut akan tamat Jumaat ini.
“SPRM memohon lanjutan reman tujuh hari, namun mahkamah hanya benarkan tiga hari sahaja,” katanya.

Peguam, Azad Bashir yang mewakili pegarah syarikat berkenaan berkata, siasatan dikemukakan ke atas anak guamnya mengikut Seksyen 16, Akta SPRM 2009.

“Selain pengarah tersebut, saya juga mewakili anak sulung pengarah berkenaan yang dibebas dengan jaminan RM15,000 oleh SPRM,” katanya.
Selain itu, pengurus tapak projek turut dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pada 29 November lalu, kesemua mereka ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan projek perlombongan pasir di Selangor, tiga tahun lalu.

Beberapa akaun milik syarikat yang terlibat bernilai RM4 juta dibekukan SPRM.