IPOH: Tempoh reman bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) disambung empat hari lagi bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan membabitkan tuntutan RM9.18 juta dalam syarikat milik penuh kerajaan negeri itu sejak lima tahun lalu.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret di sini membenarkan suspek berusia 43 tahun direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu yang berakhir hari ini selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Hari ini, suspek sekali lagi dibawa ke mahkamah sama oleh SPRM sebelum Penolong Pendaftar, N Mageswari membenarkan reman disambung selama empat hari selepas permohonan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi NSTP mengesahkan pihaknya membuat permohonan sambung reman terhadap suspek bagi melengkapkan siasatan.

“Sambung reman ini bagi melengkapkan siasatan SPRM terhadap kes berkenaan dan setakat ini kita sudah memanggil 13 orang untuk memberikan keterangan.

“Akan ada lebih ramai yang dipanggil untuk memberikan keterangan antaranya daripada PEKA sendiri, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan semua lokasi kita memperoleh dokumen,” katanya.

Jumaat lalu, Zainul dalam sidang medianya berkata, siasatan terhadap dakwaan penyelewengan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada kerajaan negeri dengan melakukan penggeledahan di beberapa premis.

Zainul berkata, RM9.18 juta itu membabitkan tuntutan bulanan perkhidmatan perunding berjumlah RM8 juta, sewaan premis, bil utiliti dan lain-lain bayaran sebanyak RM1.14 juta, selain tuntutan ke atas program yang tidak dilaksanakan iaitu RM40,000.

SPRM dijangka memanggil 30 saksi termasuk Ahli Lembaga Pengarah PEKA untuk memberikan keterangan mengenai dakwaan kes itu, sekali gus membantu siasatan terhadap kes yang dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Howard Lee, pada 31 Julai lalu juga mendedahkan siasatan audit dalaman yang dijalankan terhadap PEKA mendapati berlaku ketirisan dalam syarikat berkenaan dipercayai membabitkan tuntutan palsu oleh sebuah syarikat perunding.

Tuntutan palsu dengan jumlah kerugian dianggarkan jutaan ringgit itu membabitkan nilai penyelewengan sebanyak RM133,000 sebulan bagi tempoh empat hingga lima tahun lalu – berita harian