LUMUT 6 Okt. -Tempoh reman dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi membantu siasatan kes membabitkan kecederaan dua anggota TLDM ketika di dalam bilik tahanan di Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini minggu lepas disambung tiga hari lagi.

Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid membenar kedua-dua lelaki tersebut yang berusia 29 dan 37 tahun ditahan reman selama tiga hari lagi bermula esok sehingga 9 Oktober depan bagi membantu siasatan.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah dan melakukan ugutan jenayah.

Jika sabit kesalahan kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua mereka yang memakai baju lokap warna jingga tiba di mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki trak polis sebelum keluar semula menaiki kenderaan sama lebih sejam kemudian. – UTUSAN ONLINE