SUNGAI PETANI: Tempoh reman pasangan suami isteri yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun di kedai dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya serta Taman Ria di sini, minggu lalu, disambung lima hari lagi.

Perintah lanjutan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Balkhis Abdul Halim, bermula hari ini hingga 24 September ini bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Suspek berusia 21 tahun dan isterinya, 32, ditahan polis Khamis lalu, selepas mereka menyerah diri sebelum direman enam hari sehingga hari ini.

NSTP sebelum ini melaporkan seorang daripada dua lelaki yang terbabit dalam kejadian samun di kedai dobi dan kedai runcit 24 di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD ) Kuala Muda dan turut ditahan, isteri suspek.

Suspek dan rakannya menjadi ‘popular’ dan viral di media sosial apabila tindakan mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kedua-dua premis terbabit – berita harian