IPOH: Tempoh tahanan reman terhadap suspek kes bunuh seorang ibu tunggal di Taman Dato Lew Yap Sip, di sini, baru-baru ini dilanjutkan tujuh hari lagi.

Perintah lanjutan reman terhadap suspek berusia 34 tahun itu dikeluarkan Penolong Pegawai Pendaftar, N. Mageswari, di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Lelaki yang bekerja sebagai peniaga di Pasar Besar Kampung Rampat itu sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 13 Mac lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 13 Mac lalu, seorang ibu tunggal berusia 53 tahun yang bekerja sebagai pembantu peniaga pasar ditemui mati oleh anak bongsunya dengan beberapa kesan tikaman pada tubuhnya di bilik tidur tingkat atas kediamannya kira-kira jam 6.30 pagi.

Hasil siasatan di tempat rumah teres bertingkat kos rendah itu mendapati adanya kesan pecah di bahagian pintu rumah dan pintu bilik tidur mangsa selain kesan terbakar pada langsir dan kerusi dalam bilik tidurnya.

Mangsa juga baru sahaja melangsungkan majlis pertunangan empat hari sebelum kejadian dan merancang berkahwin pada Mei ini.