IPOH– Remand suspek lelaki yang menetak tiga beradik sehingga mati di Kampung Sungai Haji Muhammad di Selekoh, Bagan Datuk baru-baru ini, disambung bagi tempoh seminggu lagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Yahya Abd Rahman berkata, tempoh tahanan yang agak panjang itu perlu bagi pihak polis menyelesaikan kertas siasatan.

“Kebanyakan mangsa telah pun direkodkan kenyataannya, melainkan ibu mangsa disebabkan dia dirawat di Kuala Lumpur, kita bagi peluang dia menjalani proses rawatan dahulu.

“Saya dimaklumkan juga cubaan pihak hospital untuk sambung pergelangan tangan sebelah kanan yang hampir putus itu mungkin berjaya,” katanya.

Yahya berkata demikian kepada pemberita di program agihan bubur lambuk yang disertai oleh Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan di Kediaman Rasmi Ketua Polis Perak pada Rabu.

Dalam pada itu katanya, difahamkan wujud perselisihan faham di antara keluarga mangsa dengan suspek sebelum ini.

“Menurut pihak keluarga mangsa, memang ada perselisihan faham berkaitan kerja di antara bapa si mati dan suspek, dan tidak dinafikan suspek adalah penagih dadah.

“Mungkin pada masa itu keadaan mental dia tidak stabil, membolehkan dia melakukan perbuatan yang amat kejam,” katanya.

Baru-baru ini tiga beradik iaitu dua lelaki dan seorang perempuan berusia lima hingga dua tahun maut akibat ditetak dengan parang oleh seorang lelaki yang menceroboh masuk ke dalam rumah mereka di Kampung Sungai Haji Muhammad.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 2.30 petang itu menyebabkan kesemua tiga mangsa maut di tempat kejadian iaitu Mohammad Faqhqih Zahirulhaq Mohd. Fadzil, 5, dan dua adiknya, Nur Ziah Fasihah, 2, dan Muhanmad Firash Zaffril, 3.