ALOR SETAR: Pemandu wanita yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Baling dan isterinya, di Kampung Teluk Teduri, Jalan Baru Kupang-Baling, Selasa lepas, direman empat hari lagi.

Ketua Polis Daerah Baling, Supt Shariffudin Yusof berkata, perintah tahanan reman dikeluarkan kepada wanita berusia 37 tahun yang memandu Toyota Hilux sewaktu kejadian itu, bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita membuka dua kertas siasatan bagi kes ini iaitu melibatkan narkotik dan trafik,” katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu.

Suspek yang disahkan positif dadah jenis methampetamine itu sebelum ini ditahan reman selama empat hari sejak Rabu lepas di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan dan tempoh reman tamat pada Sabtu.

Dalam kejadian 7.15 pagi itu, ASP Mohd Noor Mat Yaub sekeluarga menaiki Toyota Passo dalam perjalanan menghantar isterinya, Suriya Abdul Rahman, 37, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri sebelum sebuah Toyota Hilux dari arah Baling, merempuh belakang kereta mangsa.

Akibat rempuhan itu, kereta mangsa masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar sebuah kereta jenis Honda City dari arah Kupang ke Baling menyebabkan suami isteri itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat anak mereka mengalami kecederaan. – Bernama