Rasa Manis Semulajadi Pembuka Selera

TAIPING – Rendang adalah salah satu daripada makanan tradisi masyarakat Melayu yang kebiasaannya disajikan ketika musim perayaan, selain dimakan bersama lemang atau ketupat.

Ia juga sinonim dengan ramuan utama seperti ayam dan daging, tidak ketinggalan juga ada yang mempelbagaikannya dengan campuran ikan dan kerang.

Tetapi jarang sekali kita boleh mendapatkan rendang berasaskan isi lokan di pasaran.

Bukan sahaja unik, bahkan rasa rendang lokan lebih enak kerana ada perisa manis semulajadi dari cengkerangnya.

Seorang peniaga rendang lokan, Marsitah Ismail berkata, dia telah lama menghasilkan resepi warisan itu kerana ia mempunyai kelainan, berbanding dengan rendang ayam atau daging.

“Memang ada yang masak dan jual rendang lokan tetapi tidak ramai, sebab lokan memang agak susah hedak didapati dan mengikut musim, selain harganya yang agak tinggi,” katanya ketika ditemui. Menurut Marsitah, dia mempelajari resipi warisan itu daripada arwah emaknya.

Katanya, dia bersama-sama adik-beradiknya turut menjual isi lokan mentah dan rendang di beberapa daerah Perak seperti Parit Buntar, Bagan Serai dan Taiping.

“Untuk isi lokan mentah kami jual di pasar pagi manakala untuk rendang pula di pasar malam. Semuanya kami masak sendiri. Alhamdulillah sambutan daripada orang ramai sangat menggalakkkan,” katanya yang berasal dari Kg. Setia Air Puteh, Taiping.

Bagi menghasilkan makanan itu pula, ujar Marsitah, bahan asasnya sama seperti bahan untuk membuat rendang lain, iaitu kerisik, santan, cili padi dan bawang.

“Sama sahaja cara memasaknya, apa yang membezakannya adalah bahan mentah iaitu lokan dan kita kena ikut hasil lokan yang ada.

“Memang selepas arwah mak meninggal, kami mula kembangkan resipi ini. Abang saya dah cuba jual di Gerik, adik saya di Parit Buntar dan Bagan Serai manakala saya dengan anak saudara pula di Taiping,”katanya.

Setiap satu bekas rendang lokan (300gm) dijual dengan harga RM 7 dan lokan mentah pula RM 5.