Oleh: Intan Zalila

RENDANG tok merupakan antara makanan tradisi yang terkenal di negeri Perak apabila menjelang hari raya dan semasa keraian atau kenduri.
Mengikut sejarah, rendang tok dianggap paling istimewa kerana dahulu ia hanya dihidangkan di istana untuk santapan diraja. Dikatakan, ia digelar rendang tok kerana ‘tok’ adalah gelaran untuk orang-orang kenamaan. Versi lain pula mengatakan juadah itu dinamakan ‘tok’ kerana ia memerlukan masa yang begitu lama untuk memasaknya.
Rendang Tok Mak Nik merupakan satu jenama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada penduduk di negeri ini. Siapa sangka, perusahaan yang dimulakan oleh Allahyarhamah Nafsiah Yeop Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mak Nik pada 1955 itu semakin berkembang dan kini diuruskan oleh anak kelima Mak Nik, Shariffudin Mohamed, 52.

Apa yang menarik, perusahaan yang dijalankan di Kampung Pasir Putih, Ipoh, ini mampu menjana sumber pendapatan kepada para surirumah dan belia dari kawasan setempat khususnya untuk sebulan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Penolong Pengurus Royale Rendang (Rendang Tok Mak Nik) Megat Syahrin Megat Aris, syarikat tersebut menggajikan sehingga 15 orang pekerja separuh masa untuk membantu kerja menyediakan, memasak, membungkus dan melabel rendang tok yang disediakan mengikut pesanan pelanggan.
“Royale Rendang mempunyai enam orang pekerja tetap tetapi untuk tempoh sebulan sebelum Hari Raya Aidilfitri, kami mengambil pekerja separuh masa untuk membantu kerana kami menyediakan rendang tok di premis ini setiap hari untuk dipasarkan ke Pasar Tani dan Bazar Ramadan di sekitar Ipoh dan Kuala Lumpur.


“Bekalan daging yang digunakan untuk tempoh ini juga biasanya kami cuba dapatkan daging kerbau segar dengan ditambah bekalan daging beku dan untuk bulan puasa tahun ini, kami menggunakan sehingga 3,000 kilogram daging kerbau.
“Kami hanya menggunakan bahagian batang pinang daripada seekor kerbau kerana kualiti dan tekstur daging yang tidak mudah hancur apabila dimasak,” katanya ketika ditemui.

Persekitaran Kerja Menyeronokkan, Timba Pengalaman Berguna

Bagi Siti Nursuhaida Ahmad Suhaimi, 23, beliau pernah bekerja secara sambilan di kilang tersebut kira-kira empat tahun lalu sementara menunggu keputusan untuk menyambung pelajaran.
Setelah tamat belajar dan bergelar isteri pada tahun lalu, beliau kembali bekerja di situ lantaran kerja yang mudah dan persekitaran yang menyeronokkan di samping lokasi yang berdekatan dengan rumah beliau.
“Saya tengok di Facebook Norazamimah Idris, yang beliau mencari pekerja separuh masa untuk menyiapkan pesanan pelanggan. Jadi, saya fikir mengapa tidak saya cuba untuk memohon lagipun saya sudah ada pengalaman sebelum ini.
“Kepada kawan-kawan saya, saya galakkanlah untuk kerja di sini. Kalau tidak mahu kerja tetap pun tiada masalah. Tambahan pula, gaji yang ditawarkan di sini lebih mahal sebenarnya daripada kerja lain di luar sana,” kata beliau yang merupakan seorang surirumah.
Beliau berkata persekitaran kerja di premis tersebut juga menyeronokkan tambahan pula rumah beliau terletak berdekatan dan boleh berjalan kaki ke tempat kerja sekali gus menjimatkan kos pengangkutan.

 


Sementara itu, Mohamad Amir Muzakkir Nawawi, 18, yang baharu sahaja menamatkan persekolahan memilih untuk bekerja di Rendang Royale untuk mendapatkan pengalaman, merasai susah payah mencari wang saku sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Pengalaman saya pertama kali bekerja di sini saya dapat belajar erti susah mencari duit seperti ibu bapa kita mencari duit untuk anak-anak dan saya beruntung dapat pelbagai iktibar serta nilai murni seperti tolong menolong, pentingkan hormat menghormati antara satu sama lain.
“Dari segi menjana pendapatan, kepada para remaja di luar sana saya syorkan untuk dapatkan kerja dan timba pengalaman yang akan berguna untuk kita setelah kita bekerja kelak,” tambahnya.
Remaja itu mengambil peluang untuk membuat sedikit wang saku ketika musim perayaan dengan bekerja di Rendang Royale.

Bantu Surirumah, Belia Setempat


Dalam aspek memilih pekerja separuh masa, penyelia kilang Royale Rendang, Norazamimah Idris, 41, tugas itu agak mudah dalam keadaan adanya kemudahan teknologi media sosial.
“Setiap tahun, ada beberapa orang pekerja yang sama akan bekerja dan ada juga yang membawa atau mencadangkan kawan-kawan mereka. Selebihnya saya pilih daripada Facebook sahaja. Namun, untuk memudahkan pemilihan pekerja separuh masa
“Sambutan yang diterima menggalakkan juga tetapi kami cuma pilih mereka yang betul-betul berminat sahaja. Kumpulan sasaran kami ialah belia yang masih mencari kerja dan surirumah agar dapat membantu mereka menambah pendapatan untuk menyambut Syawal,” kata beliau yang telah berkhidmat di premis itu sejak 12 tahun yang lalu.

Rahsia kelazatan Rendang Tok Mak Nik


Bercerita mengenai kelazatan dan keistimewaan Rendang Tok Mak Nik, Megat Syahrin berkata perbezaan rendang tok dengan rendang-rendang yang lain ialah, rendang tok dimasak sehingga masak ‘tua’.
“Kalau ikut orang Perak cakap, masak tua itu bermaksud ia memerlukan masa yang agak lama antara empat hingga enam jam. Ini bertujuan untuk memastikan semua bahan rempah ratus yang digunakan meresap ke dalam daging.
“Rendang tok merupakan ‘killer product’ syarikat kami dan saban tahun kami mendapat tempahan yang tinggi daripada para pelanggan. Selain daripada rendang tok, di bawah jenama Rendang Tok Mak Nik kita ada lima produk lain iaitu, rendang mayang sari, sambal tumis ikan bilis, serunding daging, serunding ayam dan acar buah,” ujar beliau.
Megat Syahrin berkata, Rendang Royale menyasarkan untuk memasarkan produk-produk Rendang Tok Mak Nik ke China dan Dubai dalam tempoh dua tahun ini.
Sempena Aidilfitri ini, rangkaian Rendang Tok Mak Nik juga boleh didapati di pasaraya Ipoh Parade, Ipoh, bermula 31 Mei sehingga 14 Jun ini.
Kepada anda yang berminat untuk mendapatkan dan merasa keenakan produk-produk Rendang Tok Mak Nik di Kuala Lumpur pada setiap Sabtu di Pasar Tani Kelana Jaya, Setiawangasa, Jalan Kuching dan Melawati manakala di Ipoh pula di Pasar Tani Medan Gopeng dan Silibin pada hari Ahad.