SIMPANG PULAI – Berbekalkan lampu dan air mineral, seorang Renjer Jabatan Perhutanan Negeri nekad memasuki kawasan Bukit Trans Gergin sendirian bagi menyelamatkan seorang pendaki di sengat tebuan pada 25 Mac lalu.

A Halim Ngah Ismail, 49, ketika itu berada di Seri Iskandar menerima panggilan daripada seorang daripada sembilan pendaki yang meminta bantuan bagi menyelamatkan rakan mereka yang telah pengsan.

“Saya yang menerima panggilan itu terus tanyakan lokasi tepat mereka berada sebelum menghubungi Balai Polis Kampung Raja, Cameron Highlands bagi memaklumkan kejadian itu. “Saya tiba di kawasan Ladang Agroto di Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands kira-kira jam 9.30 malam. Saya hanya memakai selipar sempat membawa pengusung untuk memudahkan pergerakan nanti,” katanya.

Beliau ditemui Sinar Harian pada Perhimpunan Bulanan April 2018 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri di Balai Bomba Simpang Pulai di sini, semalam.

Halim turut menerima sijil JBPM atas penghargaannya membantu pasukan menyelamat membawa mangsa berusia 30-an itu keluar dari kawasan hutan berkenaan bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Menurutnya, dia berjalan kaki lebih sejam berpandukan arah salah seorang pendaki untuk tiba di lokasi mereka berkumpul dan memberi rawatan awal sebelum membawa keluar kesemua pendaki terbabit.

“Dua pendaki lain turut disengat dan kami bergilir-gilir membantu mengusung mangsa untuk dibawa keluar dengan melalui pelbagai halangan sebelum bertemu dengan anggota Bomba. Kami tiba di jalan utama kira-kira jam 2.30 pagi.

“Sehingga kini, saya tidak tahu bagaimana pendaki berkenaan dapat nombor telefon saya tetapi saya berbangga dapat membantu mereka yang memerlukan. Tugas sebagai renjer banyak membantu saya akan selok belok hutan di kawasan itu,” katanya – sinar