KUALA LUMPUR: Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah menutup tirai ujian rasmi selama tiga hari di Qatar, dengan berada di tangga ke-16 keseluruhan, awal pagi tadi.

Hafizh yang menyertai pasukan Monster Yamaha Tech3 tahun ini, berjaya mempamerkan tunggangan menarik di Litar Antarabangsa Losail dengan mencatat masa sepusingan terpantas 1 minit 55.273 saat.

Pelumba berusia 23 tahun itu hanya ketinggalan 1.244s daripada pendahulu keseluruhan yang juga rakan sepasukan, Johann Zarco, 1:54.029s.

“Saya sangat gembira dengan hari terakhir ini,” katanya.

“Saya tidak jangka dapat menunggang di bawah 55 saat dan mengekalkan rentak berkenaan secara konsisten.

“Terima kasih kepada krew Tech3, mereka melakukan tugas yang sangat bagus. Kami berusaha gigih untuk cuba merapatkan jurang kedudukan dengan kelompok depan.

“Jujurnya, hari ini amat mengejutkan saya. Saya amat yakin meskipun saya melakukan sedikit kesilapan ketika perlumbaan simulasi.

“Namun kami pantas memahaminya dan tahu apakah yang perlu dilakukan pada perlumbaan akan datang. Saya amat teruja, terima kasih sekali lagi kepada pasukan, penaja dan juga penyokong, mereka amat menakjubkan.”

Hafizh akan memulakan perlumbaan pertamanya dalam kancah kelas perdana di litar sama pada 16 hingga 18 Mac ini – berita harian