BATU GAJAH: Polis menahan seorang remaja lelaki warga Indonesia yang menaiki perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) kerana merentas negeri tanpa surat kebenaran di Stesen KTM Batu Gajah di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kira-kira jam 10 malam tadi, sepasukan anggota polis Op COVID-19 IPD Batu Gajah telah pergi ke Stesen KTM Batu Gajah untuk membuat pemeriksaan ke atas penumpang ETS dari Stesen KL Sentral ke Stesen KTM Ipoh.

Menurutnya, pada jam 10.55 malam, polis telah menahan remaja berusia 17 tahun itu kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah untuk masuk ke Malaysia.

“Selain itu, suspek juga ditangkap kerana melakukan pelanggaran di bawah Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit kerana telah bergerak dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu tempat jangkitan yang lain tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Adnan berkata, berdasarkan tiket yang dirampas, suspek menaiki ETS dari Stesen KL Sentral ke Stesen KTM Ipoh dengan membeli tiket di kaunter tiket KL Sentral tanpa dokumen pengenalan diri pada harga RM39.

Menurutnya, berdasarkan soal siasat, suspek mengaku datang dari Shah Alam, Selangor, menuju Taiping, Perak untuk tinggal bersama ibunya.

“Menurut suspek, ibunya akan datang mengambil dan terus membawanya balik ke Taiping. Suspek dimasukkan ke Lokap Balai Polis Pusing, Perak kerana masih di bawah umur,” ujarnya.

Suspek ditahan reman di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) selama (14) hari sehingga 17 Jun depan.