KUALA LUMPUR : Kerajaan membenarkan urusan rentas negeri bagi tujuan akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka hanya perlu memohon kebenaran perjalanan daripada pihak polis.

“Banyak yang mahu bernikah antaranya terpaksa merentas negeri. Ramai yang memohon dari pihak polis.

Mesyuarat bersetuju membenarkan rentas negeri untuk urusan itu.

“Dengan syarat, kelulusan rentas negeri dari polis. SOP (prosedur operasi standard) masih sama iaitu tidak boleh melebihi 20 orang (hadir dalam majlis akad nikah), tanpa bersalaman dan jaga jarak sosial,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, khidmat jurufoto perkahwinan juga dibenarkan untuk menjalankan aktiviti mereka termasuk mengambil gambar pakaian dan pasangan pengantin.

“Kita bersetuju untuk membenarkan jurufoto ambil gambar pengantin di tempat terbuka di tepi tasik dan sebagainya. Kita benarkan tapi SOP tetap sama seperti jaga jarak dan pakai sanitizer,” katanya. -BH