IPOH: Anggota Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Berhad tidak harus memandang mudah resolusi Kesatuan Eropah (EU) terhadap larangan mengimport minyak sawit dari Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berkata, resolusi itu secara langsung akan menjejaskan masa depan kira-kira 650,000 pekebun kecil industri berkenaan selain memberi impak negatif kepada ekonomi negara.

Selain itu, kata beliau, terdapat 1.2 juta orang yang turut terlibat dengan resolusi itu seperti pekerja kilang sawit dan kilang sabun di samping 3.2 juta lagi rakyat Malaysia bergantung hidup kepada sawit, termasuk kakitangan FELCRA.

“Sebab itu, mereka tidak boleh kata resolusi itu perkara biasa dan kecil kerana jika sekiranya kempen itu berjaya dan minyak sawit jatuh harga, sudah tentu FELCRA akan mengalami kerugianm” katanya kepada pemberita selepas Majlis Aspirasi Staff FELCRA Berhad Wilayah Perak bersama kepimpinan kerajaan negeri di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Datuk Zulkarnain Md Eusope dan Pengurus Besar Wilayah FELCRA Perak, Hassan Khamis.

Saarani berkata, kerajaan sedang bertungkus lumus untuk mempertahankan minyak sawit dan memperbetulkan salah faham tohmahan EU terhadap produk sawit Malaysia, yang sebenarnya terbukti sangat baik.

Sehubungan itu, kata beliau, semua rakyat Malaysia, terutama mereka yang secara langsung terlibat dengan industri ini, perlu memberi sokongan padu kepada kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tidak boleh menampakkan berlaku pergeseran ataupun perpecahan di kalangan orang Malaysia terhadap isu ini,” ujarnya.

Dalam hubungan itu, beliau melahirkan rasa kecewa apabila Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia,Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin pembangkang mengadakan pertemuan dengan 16 duta EU.

“Walaupun dia tidak membincangkan mengenai sawit, tetapi ia memberi kekuatan kepada 16 orang ini, seolah-olah tindakan EU ini adalah tindakan yang betul, sepatutnya ini bukan masanya.

“Saya faham Dr Mahathir pergi dengan kawan-kawan dia sebab nak minta duta-duta ini memberitahu kepada kerajaan masing-masing untuk menekan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia bagi mengadakan pilihan raya yang telus dan adil.

“Tapi pada waktu yang sama, jangan lupa, orang-orang tu akan ambil kesempatan kerana melihatkan kepada perbezaan dan percanggahan pendirian ini. Bila orang ambil kesempatan, dia seolah-olah menggamit campur tangan asing dalam pentadbiran dan pilihan raya di Malaysia,” kata beliau.