IPOH– Resolusi yang dikemukakan dalam Muzakarah Sultan Muizzuddin Shah akan diperhalusi dan dikembangkan bersesuaian dengan pelaksanaan di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata jalinan kerjasama di antara ulama dan umara (pemimpin) penting dalam menentukan hala tuju pembangunan sesebuah negara, di samping menyatukan masyarakat berbilang kaum mengikut perspektif di negara ini.

3d72bd0e-a413-4db7-985a-4cde435967ae“Kita dapat lihat program muzakarah tahun ini sudah diangkat ke peringkat nusantara dan diharapkan supaya ia diperluaskan di peringkat antarabangsa pula, ia merupakan pandangan dan idea dari cendekiawan, ulama dan pemikir yang penting untuk pembentukan masyarakat.

“Muzakarah ini bukan hanya tertumpu kepada umat Islam semata-mata kerana perbincangan yang dibuat berdasarkan konsep realiti masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media di Majlis Penutup Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Amanjaya, Casuarina@Meru, di sini hari ini.

Yang turut sama Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria, Exco Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Dalam pada itu Dr. Zambry berharap tidak timbul permasalahan di antara golongan ulama dan umara sehingga menjadikan hubungan kedua-dua pihak saling berantakan.

“Janganlah pula ulama dan umara ini sentiasa bermusuhan, umpamanya para umara memandang ulama dengan rasa penuh ketakutan dan kebencian manakala ulama melihat umara ini dengan kaca mata-kaca mata kezaliman.

“Lihatlah dalam kaca mata kasih sayang dan saling menasihati nescaya banyak perkara yang kita boleh capai bersama, dalam konteks kehidupan Islam sendiri jika baik kedua-dua ini maka baiklah, kalau rosak kedua-duanya maka rosaklah,”katanya.

Muzakarah dengan tema “Kepimpinan dan Kekhalifahan Gagasan Konstruktif Ulama dan Umara” mencadangkan sembilan resolusi yang terhasil daripada tujuh pembentangan kertas kerja.

Antara resolusi itu termasuk memperingatkan para Umara dan Ulama supaya sentiasa bersama dan bersatu, menyarankan kewajipan umat Islam memperkasakan kesatuan ummah Islam yang lebih bersifat global; mencontohi tujuh formula pembangunan al-Fatih sert menegaskan penglibatan menyeluruh daripada semua genarasi bagi memakmurkan negara.