TELUK INTAN– Sebuah restoran di sini didapati tidak serik apabila sekali lagi dikompaun kerana tidak menjaga kebersihan di premis makan miliknya.

Pengerusi Jawatankuasa Ke­sihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan berkata, premis yang sama pernah dikompaun dan diarah tutup selama dua minggu dua tahun lalu kerana kotor.

Menurutnya, tindakan di­ke­nakan terhadap premis makan tersebut setelah pemeriksaan mendapati ia tidak bersih ter­utama di bahagian dapur.

“Tahap kebersihan premis tidak memuaskan seperti da­pur tidak teratur, makanan sejuk panas tidak disimpan de­ngan baik malah terdapat lipas di tempat memasak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas operasi pemeriksaan di premis makanan di bandar ini bersama pegawai Jabatan Kesihatan di sini baru-baru ini.

Sivanesan berkata, pemeriksaan di premis makanan dilakukan bagi memastikan peniaga menjual makanan yang bersih dan selamat untuk pengguna.

Beliau berkata, pengusaha premis makanan perlu mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan untuk mengelak kejadian tidak diingini seperti keracunan makanan.

Katanya, pengusaha makanan tidak mematuhi peraturan, boleh dikenakan denda atau penjara.

“Jabatan kesihatan negeri sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan di premis makanan bagi memastikan ia bersih dan selamat,” katanya.

Beliau memberitahu, pada 2017, sebanyak 2,963 pemeriksaan dijalankan terhadap res­toran dan kedai makanan. Da­ripada jumlah itu, seba­nyak 59 restoran diarah tutup manakala 947 notis kesalahan dikeluarkan dengan kompaun bernilai RM392,950,” katanya – utusan online