Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kejayaan Restoran Labu Sayong Signature dalam mengetengahkan juadah tradisional negeri Perak kini dimantapkan lagi dengan perancangan pembukaan francais di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Aminuddin Md Desa berkata, hasrat itu bersesuaian dengan azam pihaknya membawa nilai sebenar makanan warisan Perak di peringkat kebangsaan.

Menurutnya, buat masa ini restoran yang menerima sambutan positif daripada orang ramai itu telah dibuka berhampiran Bulatan Amanjaya dan sebuah lagi bakal dibuka di Kompleks Silveritage, Medan Gopeng tidak lama lagi.

“Restoran ini ditempatkan di lokasi strategik berhampiran kawasan tumpuan orang ramai, kini, di Bulatan Amanjaya dan beroperasi sepenuhnya dalam rumah berkonsepkan warisan tradisional Perak iaitu Rumah Kutai,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Restoran Labu Sayong Signature di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Aminuddin berkata, perancangan untuk memperluaskan cawangan restoran itu adalah salah satu usaha pihaknya untuk membangunkan industri pelancongan di negeri ini, sekali gus memperkenalkan masakan tempatan kepada pelancong asing.

Malah, kata beliau, orang ramai juga berpeluang untuk meningkatkan ekonomi mereka dengan menjalankan francais restoran tersebut.

Menurut beliau, cawangan restoran itu di Kompleks Silveritage yang sedang dalam pembinaan dan setiap cawangan mempunyai kelainan tersendiri yang akan dijadikan sebagai penanda aras.

Beliau berkata, operasi restoran tersebut di Rumah Kutai bukan sahaja bertujuan menarik minat pelancong untuk melihat seni bina tradisional itu, malah dapat merasai sendiri suasana di dalamnya.

“Rumah Kutai ini adalah pelengkap kepada Bulatan Amanjaya dan kita membuat keputusan mendirikannya sebagai tarikan kepada pelancong untuk menyaksikan rumah tradisional Perak,” ujarnya.

Terdahulu, pada majlis sama turut berlangsung penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan ‘Sayong Seni World of Wonders (WOW)’ anjuran PKNP yang bertujuan mempromosikan Perak sebagai destinasi pelancongan dan labu sayong sebagai kraftangan tradisional negeri ini.