TELUK INTAN – Sebuah premis makanan di Teluk Intan diperiksa penguat kuasa Jabatan Kesihatan negeri dan polis selepas terdapat aduan ada pelanggan mengalami simptom khayal selepas mengambil makanan di situ, sejak semalam.

Maklumat awal diterima mengesyaki kejadian berkenaan berkemungkinan ada kaitan dengan penggunaan bahan terlarang dan kejadian itu disedari Isnin lalu apabila seorang anggota polis berada dalam keadaan lemah dan khayal selepas makan di restoran berkenaan.

Bertindak daripada laporan dibuat, satu operasi bersepadu dijalankan semalam oleh anggota polis bersama pegawai Kementerian Kesihatan ke atas restoran berkenaan.

Sumber berkata, pemeriksaan yang dijalankan turut merampas beberapa jenis masakan antaranya kuah lauk, ayam goreng dan sayur selain tiga pekerja premis berkenaan turut ditahan.

“Ujian saringan awal urin terhadap kesemua pekerja yang ditahan dapati mereka positif dadah jenis Opiat.

“Pemilik premis memaklumkan masakan tidak menggunakan sebarang bahan terlarang atau mengkhayalkan, namun bahan masakan seperti kas-kas ada digunakan sedikit oleh tukang masak,” katanya.

Menurut sumber, kesemua sampel makanan yang dirampas dihantar ke Jabatan Kimia Ipoh untuk dianalisa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan siasatan sedang dijalankan – sinar harian