SANDAKAN: Sebuah restoran popular yang menyediakan hidangan dim sum di Bandar Letat, dekat Batu 3 1/2 di sini, hangus dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 pagi itu, barangan seperti kerusi, meja, pinggan mangkuk dan peralatan restoran dilaporkan musnah sepenuhnya akibat dimamah api.

Difahamkan, restoran berkenaan baru memulakan operasi sebelum tiba-tiba api dipercayai bermula dari bahagian dapur lalu merebak ke keseluruhan premis.

Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah (JBPM) Sabah, Anddre Andrew, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran pada jam 6.36 pagi.

Sejurus itu, katanya, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan dihantar ke lokasi menggunakan tiga jentera.

“Apabila tiba empat minit kemudian, didapati restoran berkenaan sedang terbakar dan operasi memadamkan kebakaran segera dijalankan.

“Pada jam 7.05 pagi, api dipadamkan sepenuhnya, bagaimanapun restoran itu dilaporkan musnah terbakar sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anddre berkata, tiada individu dilaporkan cedera akibat kebakaran itu dan pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai punca kejadian dan anggaran kerugian – berita harian