HUTAN MELINTANG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan negara tidak bankrap dengan kedudukan rezab kewangan stabil serta mampu membayar hutang pinjaman luar negara.

Beliau berkata rakyat tidak seharusnya terjebak dengan tohmahan pembangkang yang tidak berhenti memanipulasi fakta untuk membuatkan mereka percaya bahawa kedudukan kewangan negara bermasalah.

Menurutnya Malaysia sebenarnya selain mempunyai status pengurusan kewangan yang baik, merupakan negara yang mempunyai hutang rendah berbanding beberapa negara lain.

Kata beliau pinjaman luar negara bukan perkara luar biasa malah negara maju seperti Amerika Syarikat bukan sahaja mempunyai hutang pinjaman luar negara tetapi turut mencatatkan hutang yang tinggi.

“Ada (negara) yang mempunyai hutang pinjaman luar berpuluh kali ganda tinggi daripada kita, dan dari segi piawaian “standards and poor” Malaysia berada di tahap A1, makanya kita berada di piawaian tinggi.

“Kadar hutang luar negara dilakukan semua pemimpin di dunia ini. Pinjaman itu, sebenarnya kemampuan pendapatan kewangan (sesebuah) negara,”ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Kenduri Pusat Daerah Mengundi (PDM) Zon Jambatan Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu di Kampung Banang, Hutan Melintang di sini,hari ini.

 

BERITA BERKENAAN : Tun M Dakwa hadi Munafik