Bukit Mertajam: Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) menawarkan pengajian peringkat ijazah kepada Nur Hidayah Azlan, 23, dan diploma buat adiknya, Mohd Ridzuan Izhan, 18, yang kematian ibu bapa akibat denggi, Januari lalu.

Pengerusi KPTM, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata Nur Hidayah ketika ini sedang mengikuti pengajian di peringkat diploma manakala adiknya sedang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Nur Hidayah menyatakan hasrat ingin menyambung pelajaran di peringkat ijazah dalam bidang multimedia.

“KPTM akan menguruskan yuran pelajaran mereka jika mereka menerima tawaran itu,” katanya.

Ahmad ditemui selepas meluangkan masa menziarahi Nur Hidayah, Mohd Ridzuan dan adiknya, Mohd Firdaus, 14, di rumah mereka, di sini, hari ini.

Pada 16 dan 17 Januari lalu, tiga beradik berkenaan kehilangan ibu dan bapa selepas mereka disahkan menghidap demam denggi.

Ayah mereka, Allahyarham Azlan Mat Din, 50, meninggal dunia pada 16 Januari selepas empat hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketiga-tiga beradik itu kemudian menjadi yatim piatu apabila ibu mereka, Allahyarham Normah Amirudin, 46, meninggal dunia sehari kemudian di hospital yang sama.

-myMetro