KUALA LUMPUR: Axieta Arena berubah warna biru apabila dibanjiri ribuan penyokong yang mengenakan pakaian warna pilihan Barisan Nasional, hadir pada majlis pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) di Axiata Arena Bukit Jalil malam ini.

Penyokong dari seluruh negara dengan penuh semangat, teruja dan berdebar menanti pelancaran yang bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tinjauan wartawan di sekitar tapak pelancaran mendapati semua penyokong pelbagai kaum hadir mengenakan pakaian warna biru dengan gaya masing-masing.

Penyokong turut berpeluang menyaksikan klip video kejayaan dan pencapaian manifesto BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu serta gimik pelancaran manifesto.

Seorang penyokong BN dari Terengganu, Yusof Yacob, 59, berkata perjalanan mengambil masa selama enam jam dengan penuh perasaan teruja.

“Saya tiba sejak semalam bagi mengelak daripada terbabit kesesakan jalan raya hari ini.

“Terkejut melihat begitu ramai penyokong berbilang bangsa berkumpul dengan satu hati demi keharmonian dan keutuhan negara, “kepada wartawan NSTP di sini hari ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sementara itu, sebahagian bas yang membawa penyokong Barisan Nasional (BN) masih terperangkap dalam kesesakan jalan raya menuju ke Bukit Jalil menjelang beberapa jam sebelum pelancaran.

Urusetia majlis, Azmi Rahmat, berkata bagaimanapun masalah itu sedang diatasi oleh pihak pengurusan dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kelancaran majlis.

Katanya, masalah kesesakan itu berikutan kehadiran orang ramai dari pelbagai negeri yang turut memberi sokongan serta ingin mendengar pengumuman manifesto.

“Semuanya dengan teruja dan penuh semangat untuk menyaksikan sendiri apa yang akan diumumkan malam ini.

“Penyertaan paling ramai adalah dari Johor, Perak dan Selangor,” katanya.