PARIT BUNTAR – Ribuan rakyat telah hadir memeriahkan majlis bersama rakyat daerah Kerian sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berlangsung di Datan Kerian Permai, di sini, hari ini.

Baginda telah berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu bersama Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, majlis berkenaan dianjurkan bagi menyatakan rasa kasih dan sayang rakyat terhadap baginda.

“Sesungguhnya kehadiran rakyat dari segenap lapisan kaum hari pada majlis yang berbahagia ini adalah bagi menyatakan rasa kasih dan sayang terhadap Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang menaungi warga Negeri Perak Darul Ridzuan.

“Patik sekalian mendoakan supaya Allah SWT sentiasa merahmati Duli-Duli Tuanku dengan kesejahteraan dunia dan akhirat, serta terus bersemayam di atas takhta kerajaan negeri Perak yang kita cintai ini,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Ngeh Ko Ham, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Zainal Azman Abu Seman.

Menurut salah seorang hadirin, Azlee Wahab, 47, beliau datang bersama keluarganya dari Lenggong hanya untuk menzahirkan kasihnya kepada baginda.

“Memang jauh sikit perjalanan ke sini, tapi tak apa asalkan kami dapat bersama-sama rakyat lain tunjukkan kasih kepada Sultan sudah cukup berbaloi, kalau kita cakap sahaja taat kepada raja di mulut tapi tiada usaha tak guna, jadi ini usaha saya,” ujarnya.

Bagi Maznah Mohd Kassim, 61, pula yang merupakan penduduk kawasan berkenaan, dia amat teruja sambutan itu dilakukan daerah terbabit dan memberi peluang kepada rakyat bertemu baginda.

“Seronok dan gembira kami penduduk di sini, dapat sama-sama menyambut ulang tahun keputeraan baginda bersama baginda sendiri, bukan selalu kami datang dapat tengok sendiri baginda selain Menteri Besar baharu kami,” katanya ketika ditemui Suara Perak.

Pada sebelah pagi, baginda juga telah berkenan berangkat ke Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Penganugerahan Pingat-Pingat dan Istiadat Menutup Kerja di Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar.

Antara Pingat dan Darjah yang disampaikan ialah Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP), Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), Pingat Pekerti Terpilih (PPT), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).