IPOH: Ribuan warga Thailand yang menetap di negara ini mengadakan upacara memperingati mendiang Raja Bhumibol Adulyadej sempena upacara pengebumiannya yang diadakan secara besar-besaran di Bangkok bermula hari ini.

Antara negeri yang mengadakan upacara memperingati mendiang raja negara gajah putih itu ialah Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Sabah dan Kuala Lumpur.

Di Perak, kemuraman terlihat di wajah ratusan warga Thailand berkumpul di dewan Kuil Siam Siripunyamaccaham di Jalan Raja Dihilir, di sini.

Kesemua mereka yang hadir berpakaian serba hitam sebagai tanda berkabung dan meletakkan hampir 400 kuntum bunga “dok mai chan” (bunga untuk pembakaran mayat) di hadapan gambar mendiang.
Dengan rasa sedih malah ada yang menangis, mereka berkumpul dan berdoa serta bertafakur mengikut agama dan kepercayaan masing-masing.

Sukarelawan Thailand di Malaysia, Rattiya Bedi berkata, semua bunga yang diletakkan dalam upacara itu akan diserahkan kepada pihak kedutaan Thailand di ibu negara esok.

“Negeri lain juga akan menyerahkan bunga itu kepada pihak kedutaan dan kesemuanya akan dihantar ke Bangkok pada Sabtu ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kuil berkenaan pada Khamis.
Rattiya, 41, yang telah menetap di negara ini selama 20 tahun, menyifatkan mendiang Raja Bhumibol sebagai raja yang amat disanjung oleh rakyat Thailand.

“Terlalu banyak yang telah beliau lakukan untuk rakyat Thailand, amat sukar untuk kami sebagai rakyat menerima pemergian seorang raja yang amat baik,” ujar beliau dalam keadaan sedih.

Bagi seorang lagi sukarelawan yang ditemui, Fatima Abdullah, 55, pula berpendapat, pemergiaan mendiang amat dirasai oleh seluruh rakyat Thailand tidak kira di mana mereka berada.

“Walaupun saya telah berpindah ke sini selama bertahun-tahun namun jasa beliau masih memberi kesan yang amat mendalam kepada saya.

“Beliau merupakan bapa kepada rakyat Thailand dan anak mana yang tidak sedih jika bapa mereka telah meninggal dunia,” katanya sambil mengesat air mata.

memperingati-bhumibolcropped