MANONG – Sebanyak 17 rumah terjejas dalam kejadian ribut membabitkan tujuh kampung sekitar Manong, petang semalam.

Kejadian jam 6.45 petang itu turut menjejaskan struktur bumbung blok Sekolah Menengah Sultan Tajul Ariffin yang menempatkan kelas dan pejabat pentadbiran.

Kampung yang terlibat adalah Jeliang, Kampung Simpang Melembu, Kampung Semat, Changkat Manong, Kampung Guar, Kampung Seberang Manong dan Ara Panjang.

Penduduk, Mohd Haromain Mohd Sharif, 54, menyaksikan angin kuat menerbangkan bumbung lebih 50 meter ketika bersembunyi berhampiran bilik air di Kampung Guar.

“Sebelum Maghrib, saya berada di luar rumah, terasa angin kuat dan langit mula gelap. Saya berlari ke belakang dan melaungkan azan. Angin kuat itu berlangsung kira-kira 7 minit.

“Dalam fikiran saya lebih bimbangkan keselamatan ibu dan adik dalam rumah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, hari ini.

Menurutnya, keluarganya mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila keseluruhan perabot dan perkakas elektrik rosak dalam kejadian itu.

“Bagaimanapun, saya bersyukur apabila ahli keluarga selamat,” katanya.

Bagi Ibu tunggal, Hamidah Yub Maddaly, 70, tempahan telekung dan baju kurung milik pelanggannya musnah apabila pokok mangga telah menghempap rumahnya di Kampung Changkat Manong.

“Ini kejadian kedua berlaku dalam tempoh tiga minggu apabila kejadian pertama meranapkan garaj kereta dan kali ini bumbung rumah pula.

“Bahagian ruang tamu dan bilik menjahit terjejas apabila hujan lebat telah memusnahkan mesin jahit yang bernilai hampir RM10,000,” katanya.

Menurutnya, pendapatannya bergantung dengan hasil tempahan itu untuk menyara anak dan cucunya.

“Pendapatan hanya cukup-cukup makan sahaja tambahan keadaan bumbung yang rosak ini, saya mengharapkan bantuan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Adun Manong, Mohamad Zuraimi Razali berkata, lawatan dijalankan dan agensi terlibat telah menjalankan kerja-kerja membantu penduduk kampung termasuk pokok tumbang yang menghalang jalan.

“Tindakan awal diambil bagi membantu penduduk terutama rumah rosak akibat dihempap pokok sebelum pihak pejabat daerah menyampaikan sumbangan bencana,” katanya – sinar