KUALA KURAU – Gara-gara ribut ‘pagi merdeka’, penduduk Kampung Sungai Baru Tengah tidak dapat menunaikan solat subuh secara berjemaah di surau kampung itu, semalam setelah bangunan itu terjejas teruk.

Lebih malang, surau terletak bersebelahan dengan Pusat Ilmu dan Kemasyarakatan(PIDK) kampung itu amat memerlukan bantuan peruntukan segera untuk dibaik pulih.

Penghuni PIDK, Siti Rokiah Ariff,71, berkata, kejadian ribut itu berlaku lebih kurang jam 6 pagi sewaktu dia bersama lebih 20 penghuni PIDK sedang bersiap untuk menunaikan solat subuh berjemaah di surau tersebut.

Menurutnya, dalam perjalanan menuju ke surau, dia terdengar bunyi deruan angin kuat disusuli hujan lebat.

“Makcik dengan penghuni PIDK lain di sini dah ambil air sembahyang, pakai telekung untuk solat.

“Bila keluar PIDK, makcik dengar bunyi angin kuat dan tak lama kemudian, bunyi pulak dentuman kuat di kawasan dekat-dekat.

“Bila sampai surau, kami terkejut tengok bumbung surau kena angkat, terbang ribut,”katanya kepada media di lokasi kejadian, semalam.

 

Hadir sama, Ketua Kampung Sungai Baru Luar, Mohd Salmi Samsudin dan Pengerusi Surau Sungai Baru Tengah, Yahya Mokhri.

Siti Rokiah berkata, selain bumbung surau, pagar dan tiang papan tanda kediaman PIDK turut runtuh dan diterbangkan ke sebuah rumah tidak berpenghuni.

Sementara itu, Imam Surau Sungai Baru Tengah, Mohd Juri Khadri, berkata, dia yang tiba di surau itu untuk menunaikan solat subuh terkejut melihat bumbung surau berada di atas jalan utama.

“Bahagian atas surau tidak digunakan lebih sepuluh tahun lalu kerana strukturnya tidak selamat untuk kegunaan jemaah yang hadir termasuk penghuni PIDK.

“Berikutan kejadian ribut itu, surau berkenaan tidak dapat digunakan buat sementara waktu kerana air hujan sudah bertakung di dalam keseluruhan dalaman surau.

“Jadi, buat sementara waktu, surau akan meminta kebenaran pengurusan PIDK untuk menggunakan dewan utama kediaman itu sebagai surau sementara,”katanya.

.
Dalam pada itu, Yahya Mokhri berkata, pengurusan surau kini terpaksa mewujudkan tabung khas bagi mendapatkan dana membaik pulih surau mereka yang rosak.

“Saya juga turut memanjangkan perkara ini kepada pihak berwajib bagi mendapatkan bantuan sewajarnya untuk membaik pulih surau itu,”katanya.

Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari sewaktu dihubungi berjanji akan mengusahakan kerja pembaikan segera surau terbabit dengan menggunakan peruntukan sedia ada – sinar