KUALA LUMPUR 7 Jan. – Mata wang ringgit dijangka terus berlegar antara RM3.95 dan RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh terdekat dan kemudiannya berlegar sekitar RM4.03 bagi tempoh sebulan atau dua bulan akan datang.

Menurut penganalisis ekonomi, keadaan itu disebabkan pasaran yang tidak menentu apatah lagi ringgit pernah berada di bawah nilai dengan mencatat RM4.50 pada Januari 2017 manakala kenaikan harga minyak awal minggu ini pula di­sebabkan ketegangan politik di Iran, yang merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Bagaimanapun, di sebalik pengukuhan nilai ringgit yang mencatat paras terbaik pada RM3.9950 berbanding dolar AS sejak Ogos 2016 ketika ditutup Jumaat lalu, ia juga menyaksikan peningkatan harga minyak mentah Brent mencecah AS$68 (RM271.83) setong sebelum ditutup pada AS$67.57 (RM270.11) setong.

Ini bermakna harga minyak global yang tinggi akan memberi ‘kelegaan’ kepada hasil kerajaan memandangkan pendapatan daripada minyak merupakan tunjang utama kepada ekonomi Malaysia yang menjana pendapatan utama kepada eksport selain daripada produk elektrik dan elektronik.

Menurut Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid, walaupun ia memberi hasil yang baik kepada kerajaan menerusi cukai jualan minyak dan dividen dari Petronas namun kenaikan harga minyak yang dijangka terus melonjak ini pastinya bukan berita menggembirakan buat rakyat.

Katanya, bagi mengekang tekanan inflasi yang berlegar pada tiga hingga empat peratus, langkah rasionalisasi subsidi bahan api harus dilaksanakan dan dalam masa sama, perlu mengambil kira langkah-langkah yang lebih berkesan supaya matlamat subsidi bersasar mencapai matlamatnya.

“Apabila harga minyak mentah global meningkat misalnya sehingga mencecah AS$75 (RM299.81) setong, kerajaan beli pada harga tinggi dan minyak ini perlu ditapis di Malaysia yang pastinya menjadikan harganya lebih tinggi.

“Maka, subsidi perlu diberikan kepada pengguna bagi mengelakkan pengeluar dan penjual minyak menanggung kerugian sekiranya harga minyak global terus meningkat. Tetapi saya yakin kerajaan mempunyai perkiraan tertentu dalam hal ini kerana apabila kerajaan mendapat banyak hasil daripada kenaikan harga minyak mentah, sebahagiannya dapat digunakan untuk menampung subsidi.

“Ini kerana kenaikan bahan bakar akan mempengaruhi sebahagian besar perbelanjaan isi rumah. Walaupun, ia memberi kelegaan kepada poket kerajaan tetapi ia membebankan poket isi rumah.

“Apa yang kita bimbang ialah kesan tidak langsung misalnya harga makanan, tambang bas sekolah dan pengangkutan awam akan menyebabkan inflasi tolakan kos kerana bahan bakar digunakan sebagai input dalam semua aspek pengeluaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jumaat lalu, ringgit mencatat paras terbaik sejajar dengan kenaikan harga minyak global yang merupakan pendorong utama permintaan ke atas nota tempatan. Ringgit meningkat 100 mata asas atau 0.25 peratus ketika ditutup Jumaat lalu berbanding RM4.0050 pada Khamis.

Minyak mentah Brent diniagakan pada AS$68.10 (RM272.23) setong, naik 0.04 peratus, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) mencatatkan AS$62.03 (RM247.96) setong, meningkat 0.03 peratus pada pembukaan pasaran.

Untuk rekod, pada Rabu lalu, harga minyak mentah diniagakan pada paras melebihi AS$67 (RM267.83) setong iaitu paras tertinggi sejak 2015.

Dalam masa sama, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan eksport Malaysia mencecah paras tertinggi sebanyak RM83.5 bilion pada November 2017 iaitu nilai eksport bulanan tertinggi selepas RM82.62 bilion pada Mac 2017.

Pada 2016, industri minyak, gas dan tenaga menyumbang 14.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan RM179.7 bilion kepada pendapatan negara kasar serta menjana RM411.5 bilion pelaburan pada tahun lepas. Hasil minyak dan gas juga menyumbang 14.7 peratus kepada pendapatan kerajaan pada tahun sama.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd., Dr. Kamaruddin Mohd. Nor berkata, harga minyak global dijangka berlegar pada AS$60 (RM239.85) setong manakala ringgit dijangka terus mengukuh di bawah paras RM4 berbanding dolar AS.

Jelas beliau, kenaikan itu pastinya akan memberi impak yang bagus kepada mata wang tempatan walaupun sumber pendapatan negara daripada hasil minyak semakin berkurangan.

“Bila pendapatan positif, ia akan memberi sentimen yang baik kepada pelabur asing menjadikan tadbir urus perbelanjaan lebih baik. Untuk itu, kita akan melihat pertumbuhan ekonomi yang baik dari segi perdagangan antarabangsa dengan eksport pada 2018 dijangka berkembang pada 9.3 peratus,” katanya.

-UTUSAN ONLINE