IPOH: Kementerian Sumber Manusia menggesa semua pihak bekerjasama dalam memastikan tahap kebersihan pekerja asing khususnya dalam bidang penyediaan makanan tidak menjadi punca kepada pelbagai penyakit dan keracunan makanan di negara ini.

 

Menterinya, YB M Kulasegaran berkata pihaknya juga menasihatkan agar pihak kerajaan tempatan mengambil serius perkara ini dan segera mengenalpasti kaedah penyelesaian memperbaiki tahap kebersihan di kalangan pekerja-pekerja asing di premis makanan.

 

Tegasnya lagi, walaupun pekerja tempatan turut tidak terlepas daripada isu kebersihan namun ianya tidak mencapai tahap yang serius berbanding risiko yang penyakit yang dibawa pekerja asing.

“Pekerja-pekerja negara kita pun mungkin ada masalah sedemikian tetapi tidak serius. Jika kita lihat isu penjagaan kebersihan kalangan pekerja asing sangat teruk, dan ini adalah salah satu perkara yang perlu diberikan perhatian dan tindakan segera.

 

“Saya telah mengarahkan kementerian saya untuk membuat kawal selia, dan membincangkan perkara ini bersama Kementerian Kesihatan serta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kerana perkara sepeti ini merupakan masalah peringkat di bawah.

 

“Perlu diingat, kita bukan sahaja memerlukan kedai tersebut bersih, tetapi dari segi pekerja, mereka tidak membawa sebarang jangkitan yang boleh menyebabkan penyakit kepada orang ramai,”katanya ketika ditemui Astro Awani di sini, hari ini.

 

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu juga berkata kedatangan pekerja asing ke Malaysia tanpa melalui pemeriksaan saringan kesihatan akan membuka ruang kepada mereka untuk membawa pelbagai penyakit unik (peculiar disease) seperti tibi dari negara mereka ke Malaysia.

 

Justeru, beliau akan memastikan perbincangan dijalankan antara kementerian adalah ke arah pengwujudan satu kaedah kawal seliaan dan prosedur untuk memastikan pemeriksaan kesihatan dijalankan ke atas pekerja asing dengan ketat.

 

“Kita tahu, tibi telah bermula, lebih kurang empat tahun lepas sedangkan kita tahu tidak ada tibi dalam negara ini langsung maka tiada tindakan dilakukan. Hanya baru-baru ini kita mendapati tibi telah tersebar di negara ini…,sekarang, (ianya kerana) tiada saringan penuh kepada pekerja asing ini, menyebabkan mereka datang dengan penyakit,”katanya lagi.

 

Bagaimanapun, Kulasegaran mengatakan bahawa majikan masih boleh mendapatkan khidmat pekerja asing namun mereka harus berwaspada terhadap situasi kesihatan sebenar setiap pekerja mereka.

 

Ketika ditanya mengenai perlukah tindakan tegas diambil terhadap mana-mana majikan yang gagal memastikan persekitaran yang bersih bagi pekerja asing, Kulasegaran mempunyai pendekatan yang berbeza.

 

“Pendekatan saya adalah amat berbeza kerana konsep kita adalah mesra peniaga atau business friendly. Saya telah mengarahkan kementerian saya untuk tidak sesuka hati melakukan pemeriksaan mengejut, tetapi hubungi mereka dan beritahu mengenai situasi sebenar premis tersebut. Pastikan mereka tahu mengenai keadaan pekerja yang mempunyai masalah kesihatan, gesa mereka tangani segera.

 

“Jika mereka mempunyai masalah, datanglah berjumpa dengan kami. Tiada gunanya menyerang, menekan dan meletakkan mereka di mahkamah, benda ini sama sekali tidak membantu. Ajar dan bimbing mereka, dan inilah yang tidak dilakukan kerajaan terdahulu.

 

“Kita tidak akan mengambil kesempatan terhadap mereka kerana perusahaan dan perniagaan sesuatu yang penting untuk negara. Kita harus bekerjasama dan apabila benar-benar mereka tidak mematuhi peraturan setelah tempoh masa diberikan, maka tindakan akan diambil,”katanya kepada Astro Awani.

 

Kulasegara menegaskan, bahawa adalah menjadi tugas pelbagai agensi dan Kementerian untuk memaklumkan mengenai kerosakan jangka panjang mikroorganisma yang menyebabkan keracunan kepada rakyat Malaysia kepada majikan pekerja asing di negara ini.

 

“Anda (majikan) harus berwaspada, kita benarkan pekerja asing untuk bekerja, kerana kita kurang tenaga buruh…namun tiada sebarang kompromi perlu diberikan dalam perihal kesihatan, perlu ada sekatan tertentu, dan ini juga perlu diberitahu kepada pekerja tempatan, semua harus diperiksa.

 

“Jika kedai atau premis anda bersih, pastinya ramai yang akan datang. Kita mahu individu yang terlibat dengan perniagaan mengambil serius isu kebersihan kerana selain kebaikan untuk perniagaan ia juga memberi imej baik buat Malaysia,”

 

Sebelum ini, media melaporkan mengenai satu dapatan penyelidikan daripada Universiti Malaya di sekitar Ipoh, Shah Alam dan Terengganu yang mana mendapati kalangan 383 pekerja asing adalah mereka yang membawa bakteria yang boleh menyebabkan keracunan dan kematian.