KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar mendakwa disabotaj berhubung penahanannya terbabit dalam penyalahgunaan dadah seperti laporan media semalam.

Beliau berkata, tidak pernah terbabit dalam sebarang pengambilan dadah seperti yang tersebar dan yakin ia adalah satu perangkap terhadapnya bertujuan merosakkan nama baik beliau.

“Saya akan menggunakan segala saluran yang ada untuk mempertahankan diri dan membersihkan nama saya, keluarga saya dan UMNO serta Barisan Nasional (BN).

“Usaha saya selama 14 tahun di sini akan tetap diteruskan bagi membantu BN di Bandar Tun Razak selagi parti mengizinkan saya untuk terus berkhidmat,” katanya dalam sidang media khas di Pejabat UMNO Bahagian Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Media Isnin lalu melaporkan Rizalman ditahan di sebuah kelab malam, di Jalan Imbi di sini dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya.

Hasil siasatan awal polis mendapati beliau dan beberapa lagi rakannya positif dadah.

Mengulas lanjut beliau berkata, bersedia meletakkan semua jawatan yang dipegang sekiranya siasatan dan mahkamah mendapatinya bersalah.

“Saya hanya dituduh namun belum terbukti bersalah jadi saya memohon supaya janganlah organisasi UMNO dan BN terus dikaitkan kerana isu ini lebih kepada serangan peribadi ke atas diri saya,” katanya – berita harian