Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Peruntukan sebanyak RM8.72 juta telah disediakan oleh Lembaga Air Perak (LAP) bagi melaksanakan pemberian subsidi air khusus untuk membantu rakyat miskin di negeri ini sejak 10 tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, jumlah tersebut adalah setakat 21 September lalu dan ia telah memberi impak langsung kepada 11,491 keluarga yang kurang berkemampuan sejak tahun 2007.

Beliau berkata, LAP juga telah membelanjakan sejumlah RM0.57 juta bagi inisiatif subsidi air kepada 1,953 rumah ibadat seluruh negeri sejak program itu dilaksanakan pada tahun 2013.

IMG-20171003-WA0008

“Apa yang kami dapati adalah berlaku penurunan 1.6 peratus dalam pendapatan LAP berikutan pengurangan penggunaan air melibatkan pengguna di sektor pengilangan dan perniagaan. Ianya mungkin disebabkan oleh faktor kegunaan domestik atau kemajuan kaedah teknologi baru dalam menjimatkan air.

“Tetapi apa yang perlu diberi perhatian ialah saranan kita untuk menjimatkan air kini diberi perhatian dan kita tidak boleh sekadar memikirkan tentang untung dan rugi semata-mata,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat LAP di Bangunan LAP di sini, hari ini.

Dr Zambry menegaskan, walaupun berlaku penurunan kadar penggunaan air namun ianya tidak menjejaskan pendapatan keseluruhan LAP dan laporan konklusif yang terperinci akan dibentangkan pada penghujung tahun ini.

“Apa yang penting adalah keseimbangan dalam memastikan penjimatan air berlaku di kalangan pengguna dan kita mesti memandang sudut positif, bukan dari segi untung rugi sahaja,” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, menerusi pengauditan penyata kewangan LAP yang berakhir pada 31 Disember 2016, pihak LAP telah berjaya memperolehi sijil bersih daripada Jabatan Audit Negara yang diumumkan pada 31 Ogos lalu.

“Bagi belanjawan untuk tahun 2018, LAP akan memperuntukkan RM4,62.33 juta di mana ia melibatkan RM349.76 juta atau 76 peratus digunakan untuk perbelanjaan mengurus.

“Manakala RM96.07 juta atau 21 peratus diperuntukkan untuk perbelajaan pembangunan manakala RM16 juta atau tiga peratus untuk pembayaran balik pinjaman.

“Berikutan itu, turut berlaku peningkatan belanjawan bagi tahun 2018 iaitu sebanyak 1.82 peratus berbanding pada tahun 2017,” katanya.