IPOH– Program tahunan Korban Perdana anjuran kerajaan negeri tahun ini berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM 1.4 juta hasil sumbangan pelbagai agensi badan berkanun.

Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu menerima sumbangan itu bagi pihak kerajaan negeri Perak dari setiap wakil agensi yang hadir dalam majlis Penyerahan Cek Sempena dengan Majlis Korban Perdana negeri Perak di sini pada Khamis.

Dana itu bertujuan untuk pembelian haiwan korban bagi melaksanakan ibadah korban di peringkat negeri dan daerah lain di seluruh Perak.

Antara penyumbang yang terlibat dalam majlis penyerahan cek ini ialah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (RM 420,000), Lembaga Air Perak (RM 336,000), MB Incorporated (RM 210,000), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (RM 200,000) serta Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (RM 210,000).

Dalam pada itu haiwan korban yang terlibat berjumlah 330 ekor, bersempena Hari Raya Aidiladha tidak lama sahaja lagi.

Ahmad Faizal dalam ucapan ringkasnya menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyumbangkan dana bagi tujuan tersebut saban tahun.

Di akhir majlis, Menteri Besar yang turut hadir bersama isteri, Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi menunaikan solat Isya’ berjemaah dengan anak-anak dari Maahad Tahfiz dan hadirin disusuli dengan jamuan makan malam.

1/4