Oleh:Nazialita Geynna Maharan
KUALA KANGSAR: Sebanyak RM1.4 juta diperuntukkan bagi menaiktaraf kawasan Mini Arena Kuala Kangsar di Rancangan Perumahan Awam (RPA) 1 bagi kemudahan penduduk setempat.

Peruntukan yang diberikan dengan kerjasama oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) itu disalurkan bagi membina  sebuah Dewan Mini Arena di atas tanah seluas setengah ekar tersebut.

Yang Dipertua MPKK, Datuk Shahrom Abd Malik berkata ianya adalah bertujuan untuk memberi peluang perniagaan kepada orang ramai dengan pembinaan lima gerai bernilai sebanyak RM400,000.

“Perancangan Mini Arena ini sebenarnya telah dirangka bersama dengan MPKK dan dinanti-nantikan oleh penduduk.

“Pada hari ini ianya dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan wakil rakyat yang lain,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di perkarangan Dataran Seri Mercu.

Dalam majlis tersebut, Dr Zambry turut meluangkan masa merasmikan Dataran Seri Mercu dan beramah mesra dengan penduduk setempat bersama dengan barisan kepimpinan kerajaan negeri.