IPOH: Sebanyak RM1.5 juta telah diperuntukkan bagi mempromosikan pelancongan di negeri Perak sempena Sukan Malaysia (SUKMA) XIX yang dijadualkan 12 – 22 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan negeri, YB Tan Kar Hing berkata, peruntukan yang disediakan itu juga merangkumi penyediaan kemudahan bagi keselesaan dan keselamatan pelancong.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri sentiasa komited dalam membangunkan industri pelancongan dengan peruntukan RM8 juta untuk program penggalakkan pelancongan negeri tahun ini.

Menurut beliau, bajet itu yang merangkumi kos operasi dan emolument, promosi dan pemasaran, disalurkan secara berperingkat mengikut suku tahun kepada agensi Tourism Perak.

“Bagaimanapun sempena penganjuran SUKMA XIX Negeri Perak 2018, agensi di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan telah dipertanggungjawabkan untuk merancang dan menjalankan gerakan promosi sempena SUKMA XIX Perak,” katanya ketika menjawab soalan asal YB Dr. Ko Chung Sen (DAP – Kepayang) di Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini.

YB Tan memberitahu, kerajaan Persekutuan turut membantu melalui rolling plan 3, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11)dengan meluluskan pelaksanaan projek Rumah Lat & Galeri di Batu Gajah.

“Ini jelas membuktikan bahawa kerajaan Persekutuan dan juga negeri sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan dan keselesaan kepada pengunjung yang melawat negeri Perak,” ujarnya.

Menurutnya, berdasarkan rekod, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah menyalurkan RM124.8 juta bagi pelaksanaan 118 projek sejak RMK9 hingga RMK11, tidak termasuk program-program pelancongan yang mendatangkan impak kepada industri pelancongan di negeri ini.