BERUAS: Bantuan hampir RM1 juta diberikan kepada lebih 700 warga Manjung sempena Program Permukiman Menteri Besar di daerah itu mulai 24 – 28 Oktober ini.

Bantuan tersebut adalah daripada tiga agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) iaitu RISDA, FELCRA dan Giatmara di samping Yayasan Bina Upaya (YBU).

Bantuan diserahkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Peladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan ketika program Pemimpin Prihatin Bersama Rakyat di Arena Square Kg. Bakar Bata di sini pada Rabu.

Pihak RISDA menyerahkan bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) berjumlah RM255,000, Program Peningkatan Produktiviti Getah (PPG) sebanyak RM15,900, Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) RM187,000 dan RM10,000 untuk bantuan peralatan pengaktifan semula Pergerakan Wanita Pekebun Kecil.

1juta-manjung 5

Pihak FELCRA pula menyerahkan bantuan bulanan kepada 107 penerima bantuan PPRT yang bernilai RM200 setiap orang di samping makanan bernilai RM100.

Manakala pihak YBU pula menyerahkan bantuan kotak makanan kepada 30 keluarga daif di sekitar Kg Gelung Gajah di samping gotong royong baik pulih rumah seorang warga miskin di Kg Bakar Bata.

YBU turut bekerjasama dengan Giatmara membuat pemeriksaan pendawaian elektrik 30 buah rumah di DUN Pengkalan Bharu dan 30 lagi di DUN Pangkor.

Kedua-dua pihak juga bekerjasama menukar minyak hitam secara percuma untuk 100 motosikal yang dilakukan penuntut Giatmara.