PANGKOR: Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta bagi membina semula krematorium yang terletak di Sungai Pinang, Kechil, Pulau Pangkor.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pembinaan semula itu dibuat bagi memberi kemudahan kepada masyarakat di pulau itu memandangkan krematorium sedia ada telah rosak.

“Masalah yang dihadapi mereka hari ini ialah tidak mempunyai tanah yang luas, tanah perkuburan telah penuh dan struktur bangunan krematorium sedia ada telah rosak.

“Menjadi tanggungjawab saya selaku wakil rakyat di sini bagi memastikan kehidupan mereka ini terbela dan terjamin,” katanya kepada pemberita pada Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina DUN Pangkor di Arena Sungai Pinang, Pulau Pangkor pada Ahad.

Peruntukan berkenaan telah diserahkan kepada Jawatankuasa Pertubuhan Perkuburan Orang Cina Pulau Pangkor pada majlis tersebut.

Tambah Dr Zambry, projek pembinaan semula itu bakal memberi manfaat kepada lebih 500 masyarakat Cina di kawasan tersebut.

“Projek itu akan dimulakan dengan segera, malah reka bentuknya juga telah dirujuk kepada saya dan saya berpuas hati,” ujarnya.

Di majlis itu, Dr Zambry menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina kepada lebih 300 masyarakat setempat.