KUALA KANGSAR: Hampir RM1 juta kemudahan kewangan diagihkan kepada usahawan sempena Program Permukiman Menteri Besar di Kuala Kangsar.

Penyerahan cek-cek disempurnakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid sempena Seminar Inspirasi Niaga Usahawan & Business Online di Dewan Jubli di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudi Abu Hassan.

Selain daripada kemudahan pembiayaan daripada MARA dan TEKUN, terdapat beberapa usahawan yang menerima geran daripada SME Corp.

Ketika sesi dialog, Samsudin memberitahu, kerajaan negeri telah mewujudkan Pusat Pembangunan Usahawan (PPU) di Meru Raya yang menjadi pusat sehenti untuk membantu usahawan mendapatkan pelbagai sijil pengiktirafan seperti Halal, GMP dan MESTI.

Sementara itu, Mastura pula menawarkan Pusat Khidmat Parlimen Kuala Kangsar sebagai pusat sehenti yang mengumpulkan segala keperluan usahawan untuk dipanjangkan ke PPU.

Di samping itu, katanya, beliau telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk membantu mendapatkan maklumat mengenai dana-dana kerajaan yang kemudiannya dipanjangkan kepada usahawan di Kuala Kangsar.