PARIT BUNTAR -Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukan sebanyak RM10 juta untuk membantu 1,000 usahawan muda di seluruh negara pada tahun ini.

 

Ketua Setiausahanya, Datuk Borhan Dolah berkata bantuan itu diberikan membabitkan 13  bidang keusahawanan antaranya ialah bidang automotif, hospitaliti, jahitan, gunting rambut, fotografi, penghawa dingin, spa, penyelenggaraan paip, penyelenggaraaan bangunan  dan sebagainya.

Beliau berkata setiap seorang usahawan terbabit  diberikan sebuah motosikal dan peralatan dengan harga RM9,000 dan RM1,000 untuk latihan bagi membolehkan mereka memulakan bidang perniagaan masing-masing.

“Oleh kerana mereka baru menceburkan diri dalam bidang keusahawan dan tidak mempunyai modal untuk menyewa premis kita berikan motosikal supaya mereka boleh menjalankan perniagaan dari rumah. Apabila pelanggan memerlukan perkhidmatan mereka boleh datang pada bila-bila masa.

“Mereka boleh gunakan facebook dan washapp untuk mengiklankan perkhidmatan masing-masing dan ini mengurangkan kos menyewa bangunan,” katanya dalam sidang media pada majlis penyerahan Mobileprener Negeri Perak dan Dividen Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di Batu Lima dekat sini hari ini.

Seramai 93 usahawan muda negeri ini menerima motosikal dan peralatan tersebut yang disampaikan oleh Borhan.

Borhan berkata program ini dimulakan pada 2016 membabitkan 500 usahawan, 2017 dengan 3,000 usahawan.

Menurut beliau berkata pihaknya yakin usahawan berkenaan dapat memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan.

“Kita akan pantau mereka jika mereka hadapi masalah dan kita akan bantu,” katanya.

Sementara itu Pengarah Felcra Perak Hassan Kamis berkata sebanyak RM9 juta dividen diberikan setiap bulan kepada 2,500 peserta PPRT di negeri ini.

Menurut beliau setiap seorang peserta menerima wang tunai RM200 dan barangan makanan brrnilai RM100.

“Dividen keuntungan itu ini membabitkan 8,200 hektar ladang kelapa sawit yang dimajukan Felcra dan tanah itu diberikan oleh kerajaan negeri untuk membantu peserta PPRT,” katanya.