GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hari ini mengisytiharkan bayaran hampir RM1,000 untuk 3 biji durian yang dibayar seorang wanita kepada seorang penjaja di Jalan Macalister sebagai “munasabah”.

Timbalan Pengarah KPDNHEP di Pulau Pinang, Chin Ching Chung berkata, siasatan mendapati tiada unsur-unsur pencatutan seperti yang diadu wanita itu.

Pada Jun, pembeli itu menulis catatan di Facebook selepas satu gerai durian mengenakan RM937 untuk 2 biji durian jenis “Black Thorn” dan 1 biji durian jenis “Musang King”.

Penjaja itu mendakwa wanita itu ke gerai itu meminta “durian paling besar dan paling sedap”, kata satu laporan.

“Kami minta invois jualan dan belian, rekod jualan dan penyata kewangan daripada 2 orang pemilik yang menjalankan gerai durian itu,” kata Chin kepada pemberita hari ini.

“Kami juga mengambil kira berapa penjaja-penjaja itu membayar kakitangan mereka, bil utiliti dan lain-lain kos.

“Mereka memberikan semua dokumen berkaitan dan kami dapati harga 3 biji durian itu munasabah.”

Chin berkata penjaja terbabit bagaimanapun dikenakan kompaun RM2,000 kerana mempamerkan tanda harga yang mengelirukan dalam tulisan Cina.

“Tanda harga RM65 hingga RM95 sekilo untuk durian jenis ‘Black Thorn’ didapati mengelirukan dan mungkin dimanipulasi oleh penjaja-penjaja itu,” katanya.

Denda dikenakan mengikut Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit).

Chin berkata kementerian juga mengenakan 10 kompaun berjumlah RM1,500 keseluruhannya atas pelbagai kesalahan perihal dagangan terhadap penjaja-penjaja durian di negeri itu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan berapa ramai penjaja yang terkena.

Menurut Chin, 7 daripada kompaun itu adalah untuk kesalahan berkenaan berat timbangan.