TELUK INTAN: Kerajaan negeri meluluskan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Kelab Pelayang Selabak bagi membolehkan kelab peminat wau dan layang-layang itu melaksanakan aktiviti mereka.

Sumbangan diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan ketika melancarkan Kempen Kitar Semula, Sistem Mata Ganjaran serta Majlis Penutup & Penyampaian hadiah Pertandingan Wau Kapal di Mini Stadium, Jalan Speedy di sini pada Selasa.

Aktiviti tersebut diadakan sempena Program Permukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak bermula hari ini.

Samsudin di dalam ucapannya berharap sumbangan itu akan dimanfaatkan untuk menarik minat lebih ramai anak muda menyertai aktiviti permainan wau dan layang-layang.

Dalam masa sama, beliau meminta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada di Hilir Perak turut mengambil bahagian di dalam kempen Perak Yang Bersih, yang dilancarkan, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir baru-baru ini.

“Sebagai komuniti yang ketiga terbesar selepas penjawat awam dan swasta, NGO juga perlu memainkan peranan untuk membantu kerajaan di dalam program pembangunan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Hadir sama Setiausaha Majlis Perbandaran Teluk Intan, Ismail Ibrahim dan Penaung Kelab Pelayang Selabak, Nazaruddin Bandi.

Sementara itu, Nazaruddin berkata, sebenarnya terdapat tujuh kelab lagi yang bernaung di bawah Kelab Pelayang Selabak yang menghimpunkan kira-kira 1,000 peminat wau dan layang-layang.