PETALING JAYA: Hasil pengiraan wang tunai yang diisi dalam berpuluh bagasi dirampas dalam operasi penggeledahan minggu lalu mendapati sebanyak RM109 juta disimpan dalam 27 bagasi, lapor China Press.

Proses pengiraan kali ke-2 itu mula dijalankan sejak Isnin lalu di Bangunan 238, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, di mana bilik pengiraan dilengkapi kamera litar tertutup dan anggota bersenjata api.

Akhbar itu melaporkan pada hari pertama, anggota JSJK dengan bantuan kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil 10 jam mengira lebih RM50 juta dalam pelbagai mata wang dalam 11 bagasi.

Proses itu diteruskan sejak 8 pagi semalam dan mereka menghabiskan 12 jam untuk mengira wang tunai dalam 16 bagasi lain.

Difahamkan, lebih 10 kakitangan BNM membantu proses pengiraan itu dan ia akan diteruskan hari ini.

Proses pengiraan itu memakan masa kerana nombor siri setiap keping wang perlu dicatatkan untuk kegunaan mahkamah kelak dan selain ringgit, ia antara lain mengandungi pound, dolar Amerika dan Singapura.

Sebanyak 15 kotak berisi wang tunai itu dan 16 bagasi kosong dipindah menggunakan trak polis utnuk disimpan di BNM pada 8.50 malam semalam.

China Press melaporkan proses pemindahan itu dikawal ketat dengan seorang anggota ditugaskan merakam proses berkenaan dan 5 anggota mengangkut barang bukti ke dalam trak dengan polis khas bersenjata api mengawal keadaan.

Bukan itu sahaja, ada anggota melaungkan angka bagi setiap barang bukti yang dipindahkan itu.

Polis difahamkan merampas 72 bagasi dari kondominium mewah pada 17 Mei lalu, dengan separuhnya daripada berisi wang tunai, manakala selebihnya mengandungi barang kemas dan beg.

Media melaporkan polis menggeledah 3 kondominium mewah di Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan keluarga bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan merampas 284 kotak mengandungi beg tangan mewah dan 72 beg berisi barang kemas, wang tunai, jam tangan dan barang berharga lain, Khamis lalu.

Menurut laporan, 6 premis digeledah polis sejak malam 16 Mei lalu, iaitu kediaman Najib di Taman Duta, 3 kondominium mewah, pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri dan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya yang digunakan Najib sejak 2009 – msn