IPOH : Buat pertama kalinya, semua kelab sukan di kesemua 12 daerah di Perak berpeluang memohon dana bagi menganjurkan program dan aktiviti sukan masing-masing melalui dana pemerkasaan sebanyak RM117,000 oleh kerajaan negeri bersempena penganjuran Bulan Sukan Negara.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, permohonan yang dibuka mulai hari ini sehingga 29 September depan adalah terbuka kepada penganjuran semua jenis sukan bagi memupuk semangat kesukanan di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, dana pemerkasaan sukan itu juga terbuka kepada semua golongan termasuk belia, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan wanita.

“Sebanyak tiga permohonan terbaik akan dipilih dari setiap daerah bagi menganjurkan program sukan di kawasan masing-masing kecuali daerah Kinta yang diberikan tambahan tiga lagi ekoran kepadatan penduduknya.

“Proses pemilihan akan dijalankan oleh Jabatan Belia dan Sukan negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Perak dan pejabat saya. Peruntukan sebanyak RM3,000 akan disalurkan kepada kelab-kelab sukan terbaik untuk menganjurkan program sukan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Howard berkata, penganjuran Bulan Sukan Negara akan berlangsung sepanjang bulan Oktober.

Sehubungan itu, beliau menjemput kelab-kelab sukan untuk menghantar surat permohonan dengan dilampirkan kertas kerja lengkap menerusi emel danasukanperak@gmail.com

“Keutamaan akan diberikan kepada kelab-kelab sukan yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan,” katanya.

– UTUSAN ONLINE